Penyakit dan makanan tradisional - Utusan Online - Blog Makanan di Malaysia
Penyakit dan <b>makanan tradisional</b> - Utusan Online - Blog Makanan di Malaysia
Penyakit dan <b>makanan tradisional</b> - Utusan Online
Posted: 25 May 2014 08:21 AM PDT
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
MALAYSIA boleh dikatakan syurga makanan. Pelbagai jenis makanan lazat sama ada tradisional, Timur atau Barat semuanya boleh dinikmati dengan mudah di negara ini sama ada di gerai, restoran sehingga restoran lima bintang. Makanan boleh dikatakan punca pelbagai penyakit. Tetapi adakah makanan tradisional memberikan mudarat kepada kesiha-
tan? Makanan tradisional seperti rendang, masak lemak, kari, asam pedas, keropok, kerepek, pulut panggang, seri muka, kuih lopes - sekadar menyebut beberapa menu - biasanya diadun dengan bahan seperti santan, kelapa, gula, pulut, sagu, garam dan serbuk perasa secara berlebihan bagi mendapatkan rasa yang enak serta membuka selera.
Bahan-bahan berkenaan biasanya menyebabkan pelbagai penyakit seperti diabetes, darah tinggi atau jantung jika diambil secara berlebihan tanpa kawalan.
Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan, Sains Makanan dan Keselamatan Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Umi Kalsum Hussain Zaki berkata, masyarakat Melayu sejak lama dulu mengambil nasi sebagai makanan asasi atau ruji tetapi tidak mendatangkan banyak masalah.
"Kajian menunjukkan masalahnya bukan terletak kepada karbohidrat tetapi cara dan kuantiti makanan diambil," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai carta pemakanan atau piramid makanan sebagai panduan bagi masyarakat untuk menjadi lebih sihat.
Umi Kalsum berkata, biasanya kita melihat makanan tradisional Melayu tidak seimbang dan tidak mengikut keperluan badan.
"Apa yang penting kita perlu mengambil nasi atau apa juga makanan dengan kuantiti yang sesuai dengan usia, jantina dan aktiviti seseorang. Misalnya seorang kanak-kanak memerlukan karbohidrat dan protein yang tinggi berbanding dengan mereka yang kurang menggunakan tenaga," katanya.
Misalnya mengenai makanan segera, Umi Kalsum menjelaskan, tiada larangan asalkan tidak keterlaluan dan hadkan hanya dua kali sebulan.
"Tapi jangan sesekali tinggalkan sarapan pagi kerana makanan diperlukan untuk membakar lemak, dan semasa berpuasa jangan sesekali meninggalkan sahur," katanya.
Akan tetapi jelas Umi Kalsum, amat sukar sebagai pengguna menentukan berapa kalori yang kita ambil dalam makanan yang kita makan. Berapa kalori dalam semangkuk nasi? Atau berapa kalori terdapat dalam sepinggan mi goreng atau nasi lemak? Adakah kalori yang diambil sesuai dengan keperluan seharian?
"Sebagai pengguna, kita hanya boleh membuat anggaran kalori yang diambil. Dan apa yang penting, kita seimbangkan apa yang kita makan setiap hari," katanya.
Umi Kalsum mengambil contoh, sate yang dihidangkan dengan bawang dan timun amat baik kerana sate yang dibakar menghasilkan agen pengoksidaan manakala bawang dan timun adalah anti oksida. Ini adalah keseimbangan.
"Masyarakat dahulu walaupun mereka mengambil santan, gula dan garam berlebihan dalam makanan, mereka menyeimbangkannya melalui mengambil ulam-ulaman dengan banyak serta membuat kerja berat seperti bersawah dan berkebun.
"Gaya hidup masyarakat sekarang tidak memerlukan banyak tenaga seperti mereka yang bekerja di pejabat menyebabkan mereka menyimpan banyak tenaga dalam badan dan menjadi lemak dan gula.
"Ini menyumbang kepada obesiti dan pelbagai penyakit kronik lain seperti diabetes, darah tinggi dan jantung," katanya.
Seelok-eloknya kawal pemakanan tetapi jangan sampai menahan lapar dan membiarkan badan dalam keadaan kelaparan.
Gula dalam makanan akan dibebaskan menjadi tenaga dan kandungan gula dalam badan dikira dengan indeks glisemik.
Apabila gula dalam darah adalah tinggi, ini akan menyebabkan diabetes dan pesakit memerlukan diet yang berbeza.
Menyentuh tentang makanan tambahan atau suplemen, Umi Kalsum berkata, jika badan mendapat makanan berkhasiat, suplemen tidak diperlukan.
"Seelok-eloknya ambil bahan semula jadi. Jika selesema selain mengambil vitamin C, apa kata gantikan dengan memakan limau.
"Lagipun vitamin yang berlebihan akan dibuang melalui air kencing," katanya.
Selain itu lakukan senaman dua hingga tiga kali seminggu.
"Anda tidak perlu ke gimnasium kerana kerja rumah juga adalah senaman ringan yang boleh mengeluarkan peluh dan membakar lemak," katanya.
Umi Kalsum menyarankan masyarakat mengubah gaya cara pemakanan secara beransur-ansur. Misalnya menggantikan roti biasa dengan roti gandum.
"Bagi mereka yang beragama Islam pula, amalkan berpuasa sunat Isnin dan Khamis bagi menyeimbangkan makanan yang diambil. Jika makan lebih, banyakkan senaman.
"Seelok-eloknya masak di rumah dan bawa bekal ke pejabat sebab makanan yang dimasak sendiri lebih bersih dan berkhasiat," katanya.
Ujarnya lagi, makanan tradisional tidak mengundang penyakit jika ia diambil secara seimbang.
Perniagaan <b>Makanan Tradisional di Malaysia</b> | Usahawan.com
Posted: 26 Apr 2013 02:15 AM PDT
Kepelbagaian penduduk seperti yang terdapat di negara kita, telah menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang agak unik. Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India dan setiap kaum di Malaysia ini mempunyai makanan tradisional mereka sendiri. Penyatuan pelbagai hidangan ini telah menjadi salah satu faktor untuk menarik pelancong asing datang ke Malaysia.
Pada zaman ini, sektor perindustrian diberikan tumpuan yang sepenuhmya sebagai penjana ekonomi negara. Namun tanpa kita sedari, industri tradisional khususnya industri makanan juga mampu meningkatkan ekonomi negara. Industri ini berpotensi tinggi untuk dimajukan dan dijangka dapat memberi banyak sumbangan dalam ekonomi negara. Jika industri tradisional ini dimajukan, sudah tentu peluang pekerjaan juga akan lebih terbuka dan seterusnya taraf kehidupan penduduk dapat ditingkatkan.
Dodol – Hidayah Cookies
Dodol adalah sejenis makanan kaum Melayu yang kebiasaannya dihidangkan ketika sambutan Aidilfitri. Namun kini, dodol telah dikomersilkan dan boleh didapati di negara ini pada hari-hari biasa. Walau bagaimanapun bagi sesetengah pihak, dodol dilihat seperti kian terpinggir dan kurang dikenali oleh generasi muda pada zaman sekarang.
Cerita kejayaan Hidayah Cookies pernah diterbitkan dalam akhbar tempatan. Pengasasnya, Cik Sarimah Jantan telah mengambil keputusan untuk menceburi bidang perusahan dodol dek disebabkan kegemarannya terhadap dodol itu sendiri. Keistimewaan dodol keluarannya adalah terletak pada cara ia dimasak. Isi dodol yang lemak dan mempunyai kandungan gula seimbang, serta memiliki daya tahan yang tinggi agar tidak mudah dihinggapi kulat.
Cik Sarimah membulatkan tekad nya. Beliau mengambil keputusan untuk menyertai kursus dan bengkel anjuran Jabatan Pertanian Serdang pada 2004, khusus untuk mempelajari asas pembuatan dodol yang terbaik. Azamnya hanya satu, untuk berjaya sebagai usahawan makanan tradisional dan membuang persepsi masyarakat, bahawa dodol hanya sesuai dimakan ketika musim perayaan sahaja. Setelah modal yang dikumpul mencukupi, setahun kemudian, beliau telah memulakan perusahaan dodol secara komersil.
Halangan yang utama dalam bidang penjualan dodol ini adalah minat orang ramai itu sendiri terhadap makanan ini. Pelbagai strategi pemasaran telah dilakukan, termasuk memasarkan produk ini di pasaran sekolah, kilang dan pejabat sekitar Selangor. Selain itu, Hidayah Cookies juga akan menyertai ekspo dan pameran anjuran pelbagai agensi kerajaan di seluruh negara.
Segala usaha an penat lelah yang dilaburkan akhirnya terubat. Kejayaan demi kejayaan berjaya dikecapi oleh Hidayah Cookies. Contohnya, pada tahun 2006, dodol keluaran Hidayah Cookies telah dipilih sebagai dodol terbaik pada Hari Penternak, Petani dan Nelayan peringkat Selangor (HPPN). Dodolnya juga turut merangkul anugerah dodol terbaik HPPN Kebangsaan (2007), anugerah dodol kedua terbaik di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 dan 2010. Untuk memantapkan lagi keluaran dodol Hidayah Cookies. Pelbagai perisa dodol telah dihasilkan untuk pasaran tempatan. Perisa-perisa itu adalah seperti perisa asli, durian, nangka dan labu. Untuk MAHA 2012, beliau telah menghasilkan dua lagi produk dodol iaitu dodol nanas dan dodol bijan. Kualiti produk juga dipantau agar bertambah baik daripada masa ke masa. Pembungkusan dodol juga dibuat dengan menarik dan saiznya lebih kecil untuk memudahkan pembeli membawa dodol itu kemana sahaja.
Secara purata, Hidayah Cookies menghasilkan sebanyak lima kawah dodol dalam tempoh satu hari. Setiap kawah pula mampu menghasilkan dodol seberat 15 kilogram. Pada kebiasaannya, permintaan dodol akan meningkat pada musim perayaan.
Perancangan masa hadapannya, sudah tentu beliau ingin terus maju dalam bidang perniagaan makanan tradisionalnya dan seterusnya dapat membesarkan kilangnya yang sedia ada.
Kuih Bakul – Kuih Tradisional Masyarakat Cina
Menjelang musim perayaan sambutan Tahun Baru Cina, sudah tentu pengusaha kuih bakul di Malaysia tidak menang tangan menyiapkan tempahan daripada pelanggan mereka. Begitu lah rezeki yang diperoleh oleh Ngan Chea Khong, 62, dan isterinya Tan Chu Chu, 53, pengusaha kuih bakul tradisional sejak 30 tahun dahulu. Kata Ngan, masyarakat Cina akan menghidangkan kuih bakul sebagai salah satu hidangan utama ketika menyambut tahun baru.
Kebiasaannya, beliau akan menggunakan dua dapur kayu api untuk mengukus kuih bakul itu. Penggunaan dapur kayu api melazatkan lagi rasa kuih bakul itu. Kuih bakul ini akan dikukus selama dua puluh jam dengan api yang sederhana untuk mendapatkan warna kuning keemasan. Bahan utama kuih bakul adalah tepung pulut yang dicampur dengan gula pasir dan diadun mengikut kaedah tradisional yang jarang ditunjukkan kepada sesiapa. Untuk memberi lebih aroma kepada kuih bakul itu, Ngan menggunakan daun pisang untuk membungkus kuih bakul, namun kini kebanyakan pengusaha telah beralih kepada penggunaan plastik untuk membungkus kuih bakul tadi.
Terdapat beberapa 'pantang-larang' yang perlu dipatuhi ketika memasak kuih bakul. Antaranya, wanita yang memasak kuih bakul harus bersih daripada haid. Mereka juga dilarang bercakap perkataan kotor bimbang kuih bakul akan menjadi tidak masak.
Muruku dan Kacang Putih – Makanan Kegemaran Pelbagai Kaum
Kampung Kacang Putih, itu lah nama sebuah kampung di Perak yang terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dan luar dengan perusahaan turun temurun makanan tradisi itu sejak 30 tahun lampau. Kampung ini mempunyai lebih daripada 15 pengusaha komersial murukku dan kekacang yang membekalkan makanan ringan itu ke seluruh negeri. Kampung ini akan mula menjadi tumpuan pengunjung terutama pada musim perayaan bagi membeli makanan kudapan itu.
Selain kacang putih, kudapan lain yang dihasil dan dijual di kampung itu ialah pelbagai jenis murukku antaranya bintang, kari, pakoda, omom dan kadalai serta daripada jenis kekacang seperti kacang kari dan kacang peas. Pelbagai jenis kerepek juga ada disini, seperti ubi kayu, pisang dan sayur. Murukku adalah makanan tradisional kaum India Malaysia yang resepi nya berasal dari India Selatan. Murukku sememangnya terkenal sebagai bahan kudapan, makanan ringan yang sedap, rangup dan senang dibuat dan murah kosnya. Murukku diperbuat daripada tepung kacang tosai/Urad dhal dan tepung beras. Perasanya bergantung kepada citarasa penggemar seperti yang asli atau pun yang pedas mengunakan serbuk cili.
Murukku dan kekacang yang dihasilkannya disini mendapat permintaan tinggi, termasuk daripada orang Melayu dan masyarakat lain, kata salah seorang pengusaha, C. Ratnasami, 65. "Kaum India biasaanya beli janggree, pal kuah, bunthee, laddu, alvaa, mysore pal dan clebee manakala produk kekacang yang menjadi permintaan kaum Melayu dan masyarakat lain ialah kacang campuran, kacang putih, omom dan muruku," katanya lagi. Bagi salah seorang pengusaha, R.Ponutturan, 43, beliau kebiasaanya akan menghasilkan 300 kilogram murukku dan kekacang sehari. Pada musim perayaan, pengeluaran akan bertambah bergantung kepada permintaan daripada pelanggan. Produk murukku hasil daripada Kampung Kacang Putih turut diedar kepada pemborong di negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang dan Johor Baharu.
Inovasi Mesin Untuk Menggandakan Pengeluaran
Setiap kali menjelang musim perayaan, kuih-muih tradisional memang menjadi pilihan walaupun pembuatannya agak sukar. Permintaan terhadap kuih-muih tradisional seperti rempeyek, baulu, kuih ros, karas dan lemang juga semakin meningkat. Pembuatan secara manual biasanya tidak dapat menampung permintaan tersebut.
Pihak MARDI di bawah Pusat Mekanisasi dan Automasi telah mereka cipta pelbagai jenis mesin dan peralatan bagi menghasilkan makanan tradisional seperti lemang, emping, kuih karas, rempeyek, kuih ros, tabaloi, baulu cermai, cakar ayam, keropok lekor, sate, batang buruk, biji rotan, karipap, mesin mengekstrak isi durian dan jus buah-buahan. Mesin-mesin ini direka untuk memudahkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) memenuhi permintaan pembeli terutama pada musim perayaan.
Terkini, MARDI telah menghasilkan tiga lagi produk untuk membangunkan IKS tempatan iaitu mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu yang mampu menghasilkan empat jenis kuih tradisional dengan hanya menggantikan acuan, mesin menggoreng keropok mudah susun dan mesin serba guna bagi mengekstrak sitrus dan mengasing biji benih cili.
Pereka ternama tanah air, Zulkifli Haron, 52, daripada syarikat Zull Design Autotronic juga mampu menghasilkan mesin dan peralatan untuk membuat kuih-muih tradisional dan moden. Perkara ini diakui sendiri oleh Puan Zaharani Abu Bakar yang telah bertemu dengan Zulkifli sendiri. Setelah perbincangan dibuat, dan segala kemahuan Puan Zaharani direkodkan, Zulkifli telah menghasilkan Mesin Memproses Pelbagai Kuih (Mepek).
Mepek yang dihasilkan Zull Design itu dijana kuasa angin (pneumatik) yang dihasilkan daripada pemampat elektrik yang dibekalkan bersama mesin tersebut, mampu memudahkan tugas menghasilkan produk kuih muih tradisional dan moden. Mesin yang berupaya memproses kuih seperti semperit, tart nanas dan muruku, memerlukan dua pekerja. Pekerja pertama akan memasukkan adunan kuih dan yang kedua pula akan mengawal mesin tersebut sehingga mendapat bentuk kuih yang dikehendaki. Menurut Puan Zaharani, dengan menggunakan mesin ini, beliau mampu menghasilkan kira-kira 30,000 biji kuih sebulan, sekali gus dapat menjimatkan masa dan tenaga pekerjanya dan mengurangkan harga jualan. Daripada aspek kualiti pula, produk makanan yang dihasilkan juga kurang berminyak, kualitinya terjaga dan rasanya juga lebih enak.
Kesimpulan
Pada zaman yang serba moden ini, makanan tradisional di Malaysia ada kalanya seperti 'mati' atau pun telah ditinggalkan. Oleh itu, setiap usaha untuk menghidupkan semula perniagaan makanan tradisional yang terdapat di Malaysia haruslah disokong oleh setiap lapisan masyarakat, tidak mengira bangsa dan juga kaum. Kerajaan Malaysia juga nyata turut memberi sokongan yang berterusan terhadap industri penghasilan makanan tradisional dengan mengambil beberapa langkah untuk membantu usahawan dan industri kecil (IKS) dalam perniagaan makanan tradisional. Galakan dalam bentuk dana kewangan dan kursus kemahiran diberikan khusus untuk membantu usahawan ini dalam menjalankan perniagaan mereka.
Peranan media massa juga dilihat sangat penting dalam usaha kita mengekalkan industri makanan tradisional ini. Media massa boleh membantu melakukan promosi dan mewar-warkan perihal makanan tradisional ini. Media massa seperti media elektronik amat sesuai dengan pemikiran generasi muda sekarang, dan dilihat sebagai medium yang paling baik untuk mendekati golongan muda. Adalah sesuatu yang menakutkan sekiranya generasi akan datang lupa atau tidak tahu langsung cara penyediaan makanan tradisional golongan terdahulu atau juadah popular zaman nenek moyang kita.
Semoga dengan memberi sokongan dan galakan terhadap perniagaan makanan tradisional ini akan dapat menaikkan kembali zaman kegemilangan makanan tradisional ini. Yakin Boleh!
You are subscribed to email updates from Makanan tradisional di Malaysia - Google Blog Search
To stop receiving these emails, you may unsubscribe now.
Email delivery powered by Google
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610